Saturday, May 9, 2009

Masanya Memilih Jalan Bermadu (13)

Sotong Pulut, Jeruk Manis..Satay Panggang, Chicken Chop
Assalamualaikum,
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Alhamdulillah, sudah seminggu aku menyepi dari dunia penulisan, akhirnya dapat juga ku mencoretkan sedikit coretan yang mungkin dapat dikongsikan bersama-sama. Hu huhu, mungkin ramai yang menantikan untuk si Jebat menulis lebih-lebih lagi selepas daripada akad akhi Khairudin dan zaujahnya Aida, namun kadang-kadang idea dan idea aku tidak-tidak juga menjelma, sehinggalah ke hari ini. Dan kini, Laptop putih kesayanganku buka, isteri kedua ku selepas perginya kekasih pertamaku, yang hilang entah ke mana. Namun, mungkin pemergiannya suatu suratan atau kebetulan, takdir Allah mengurniakan yang lebih baik buatku. Aku bersyukur dengannya. HP Pavillion Dv6000 Special Edition sudah terpasang. Password nya ku taip. Sudah tentu suatu nama yang bermakna ku abadikan sebagai kata kekunciku.Ahaks.

Sudah hampir semingguku di perantauan kampung, sekembalinya ku ke kampung, tidak pernah lekang dari pelbagai perkara yang hendak ku lakukan, personal atau tak personal semuanya siap tersusun dalam jadualku. Seakan banyak benda yang ingin ku selesaikan. Biarpun ku rasa kali ini adalah cuti yang terpanjang ku mohon selama ku bertugas di HUKM, namun masih terasa singkat juga rasanya. Tidak ku nafikan saat dikampung halaman adalah yang terindah untuk dikenangkan. Kenangan manis yang bermain di ingatan seumpama pulut sotong yang dimasak enak sungguh segar dalam ingatan, saat masam dan manis bergaul rasa kedua-duanya seumpama jeruk salak manis dan putiknya mangga.Walaupun demikian, semestinya kenangan manislah yang lebih utama buatku di kelantan ini, sinonim dengan penduduknya yang terkenal dengan kemanisan, begitulah budi dan bahasa kami. Cukup manis seperti hasilnya kordial air laici dan epal, Oh..cukup memikat. Budi pekerti yang indah dan kerupawanan yang jelitawan pasti mengiurkan hati ayahanda dan ibunda sang dara untuk menjadi pilihan menantu kesayangan. Mmm, begitulah rempah ratus kenangan tatkala kembali ke kelantan seakan masak dalam sedapnya hidangan chicken chop dan satay panggang pasti ku semat di ingatan.

Coretan ini khas buat pasangan uda dan dara, untukmu kdin dan aida. Aduhai !! Sebagaimana si uda memerlukan dara, begitulah pasangan ini yang juga saling memerlukan, sebagaimana keduanya memerlukan kehadiran sang udara. Alhamdulillah, majlis akad sudah pun berakhir sudah. Keduanya ditaklif akan suami dan isteri. Telah terpatri hidup janji dan semati. Moga berkekalan iman di hati. Menjadi tanda ukuran kasih nan suci. Sahabatku.. dengarlah walaupun ini bukan nasihatku. Harap dikau jadikan sebagai pedoman. Jika yang disuruh pilih, ukurannya adalah harta, maka harta itu mudah dikira. Jika yang disuruh pilih, hitungannya adalah rupa, maka rupa tidak luput dinilai mata. Andai yang disuruh pilih, ketentuannya adalah keturunan, maka keturunan itu sudah jelas di ketentuan. Akhirnya yang disuruh pilih itu, adalah pada yang beragama. Sedangkan agama itu sulit sekali mahu diukur. “Sesuatu yang tidak boleh diukur, sulit sekali untuk mengurusnya”. Justeru bagaimanakah yang dikatakan seseorang itu beragama? Adakah pada pakaiannya, solatnya, ilmunya, bakatnya, usrahnya, atau apa? Amat payah, pilihan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu ialah pada sesuatu yang amat abstrak. Namun akhirnya dalam sulit itu, segala puji bagi Allah kerana melorongkan ramai anak muda hari ini agar memilih yang sulit itu. Hatta yang tidak pernah kisah dengan tuntutan-tuntutan agama pun, masih mahu satu-satunya hari permulaan perkahwinan mereka, disimpan aurat agar berkat. Mahu pernikahan itu sandarannya adalah agama. Dan Alhamdulillah anda sahabat ku kdin dan aida, kamu adalah salah seorang dari mereka.

Ia hanya permulaan

Dan ingatlah kdin dan aida, sahabat muslimin dan muslimat. Permulaan anda anda adalah permulaan yang baik, rumahtangga yang dibina di atas dasar agama. Namun ia bukanlah suatu jaminan untuk kekal dalam bahagia rumah tangga, jaminan kepada ketenangan dan kebahagiaan. Ia hanya suatu permulaan. Setelah memilih wanita yang beragama, atau lelaki yang beragama juga, apakah bermakna rumahtangga kita sudah beroleh plan ‘takaful’ perlindungan dari musibah, pergaduhan dan penceraian? Tidak perlu diselak lembaran nas, kerana jawapannya ada pada rumahtangga kita dan rakan di sekeliling kita. Sesungguhnya permulaan yang baik, hanyalah suatu permulaan yang baik. Ia tidak mampu mengawal agar seluruh perjalanan rumahtangga itu kekal baik, melainkan usaha menjaga, memantau, dan membangunkan rumahtangga yang baik, kekal berterusan. Inilah yang sering gagal diberikan perhatian.

“Saya telah menghadiahkan anak-anak saya sebaik-baik hadiah buat mereka, iaitu dengan saya mengahwini seorang perempuan sebaik ‘dia’…Seorang pemuda bermadah pujangga. Tapi ingatlah , “baik” semasa berkahwin, bukanlah jaminan untuk terus baik di sepanjang perkahwinan.

Kelebihan sebuah permulaan

Bukanlah daku ingin mengatakan andai pilihan perkahwinan atas dasar agama pun boleh menyebabkan keretakan rumahtangga dan penceraian, oleh itu kenapa perlu dan faedah memilih dan berkahwin atas nilai agama. Tidak..tidak, bukan itu yang ingin ku katakan. Jangan salah anggap nasihatku ini, ibarat kata Abu Saif, “persoalan ini perlu lah dijawab dengan baik, jika tidak dijawab dengan baik, akan hilang kesediaan orang untuk bersusah payah memilih pasangan hidup atas faktor agama”. Sebenarnya sebuah rumahtangga yang bermula dengan baik, tetap ada kelebihannya. Tatkala segala badai dan pancaroba melanda, andai rumahtangga yang dahulunya dibina atas semangat dakwah, kini tersasar akibat kecuaian dan tekanan persekitaran dan masa, rumah tangga ini mudah mencari jalan pulang. Setelah mereka pernah sama-sama bahagia di awal jalan yang bersih dan indah dalam kehidupan beragama, pasti sejauh mana sekali pun rumahtangga itu tersasar, ia tetap jelas mencari JALAN PULANG. Malah, ia menjadi sinar harapan. Bahawa suami dan isteri pernah soleh dan pernah solehah. Potensi itu ada, rujukannya masih segar di minda dan jiwa. Mudah-mudahan luput keraguan dari suami terhadap isteri, dari isteri terhadap suami… bahawa kedua-duanya berpotensi untuk KEMBALI. Pulang ke asal yang baik itu.

Permulaan yang baik itulah juga rujukan Syariatullah dan Sunnatullah. Sebagaimana rumahtangga di hari-hari pertama terhias dengan segala nikmat solat berjemaah bersama, mengaji al-Quran bersama, makan bersama dan pergi ke majlis ilmu bersama, kembalikanlah rumahtangga yang goyah itu kepada apa yang kita sendiri pernah rasai. Begitu juga kerana nilai kasih sayang, seorang suami dan seorang isteri bisa membuka auratnya untuk ditatap pasangan yang baru dihalalkan, hidupkanlah kembali nilai kasih sayang yang sama untuk masing-masing membuka kelemahan dan keaiban diri, mengiktiraf kekurangan di depan pasangan yang sudah lama dinikahi… Demi sebuah keredhaan Allah.Terimalah rumahtangga sebagai sebuah medan perjuangan. Penyertaan kita ke dalamnya dengan segala kelengkapan, bukanlah jaminan kepada kemenangan. Kita tidak tahu apakah bentuk musuh yang bakal menyerang, tidak pasti bagaimanakah peritnya pertempuran yang bakal melanda. Namun sekurang-kurangnya dengan persediaan yang baik di sebuah permulaan, doa kita kepada-Nya tidak palsu kerana ia dilafaz selepas USAHA. Sesungguhnya permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya sebuah permulaan…

Thursday, May 7, 2009

Masanya Memilih Jalan Bermadu (12)

Satu atau lima? apa bezanya
Assalamualaikum,
Sekadar masih ingin berkongsi dengan para rakan pembaca dan terutamanya Abg Tuah yang disayangi. Tatkala betapa indahnya Ustaz Nik Abduh di saat beliau ingin mengarang post-post blog seringkali seakan sudah mengetahui. Pasti Puan Nik Abduh akan menghidangkan secawan kopi RADIX atau jenama TOK GURU yang dibancuh enak. Begitu juga dengan Ustaz Hasrizal panggilan Abu Saif, ummu Saif pasti takkan lupa menyediakan seenak kopi untuknya sebagai pembangkit rasa, penguat tenaga dan penambah idea tatkala mereka berkarya. Hendak diceritakan begitu juga aku, kopi Radix HPA aku siap terbancuh, dalam cawan sama setiap kali aku ingin menulis walaupun nukilanku tidaklah sehebat mereka. Sama seperti Ustaz Nik Abduh, Abu Saif dan para penulis blog lain, cuma yang masih, bancuhan kopi aku masih lagi dari tangan sendiri bukan lagi dari seseorang yang tidak aku kenal budi pekertinya. Sepeket kopi Radix aku masukkan ke cawan dan telah ku sukat akan berapa banyak air yang perlu ditambah untuk menghasilkan secawan kopi Radix beraroma yang bakal menemaniku menulis.

Satu atau lima? apa bezanya….aku diminta yakin dan pengharapan untuk meletakkan jawapan. Aduhai, persis kah jawapanku nanti. Sukar untuk ku berikan. Analoginya mudah..ibarat menarik rambut didalam tepung, perlulah berhati-hati..barulah tepung tidak berselerak, rambut tidak putus. Kata-kataku susun elok, madahku tidak lagi bersembunyi, banyak yang perlu dijaga dan banyak lagi perlu ku bincang. Setuju atau tidak, sama-samalah membuat keputusan. Cuma yang penting, satu atau lima…itu jadi persoalan.

Bicaranya yang ingin ku kongsi ialah soal keyakinan. Sejauh mana sebuah kepercayaan akan tetapi kita masih tidak yakin. Senang cerita beginilah, untuk membezakan antara percaya dan yakin. Bayangkan disuatu hari, anda menemui seseorang yang mendakwa dirinya dapat terjun dari tingkat 9 tanpa mengalami masalah kecederaan dan kesakitan. Dia bertanya anda percaya? Lantas anda menjawab, anda mempercayainya. Kemudiannya, anda melihat dia benar-benar menerjuni bangunan itu, dan ajaibnya dia betul-betul selamat, tiada kesakitan dan kecederaan. Seterusnya, sekali lagi lelaki itu bertanya pada anda, sekarang sudahkan anda yakin dengan saya. Anda menjawab, iya anda yakin. Kemudian lelaki itu tersenyum dan berkata, jika begitu marilah anda terjun bersama-sama saya dari tingkat 9 ini. Terkesima anda kaku tanpa jawapan. He he he.

Begitulah bezanya yakin dan percaya. Bayangkan aku yang diminta untuk yakin dan percaya akan sesuatu. Samakah aku dengan analogi tadi, huh hu, sukar untuk ku katakan..percaya? iya aku percaya akan ia, namun yakin? Entahlah aku masih ragu dan ragu. Tapi kesimpulannya kini, akhirnya ke temui, andai aku dipinta untuk meyakininya, kini aku yakin, pastilah aku sanggup menerjuni bangunan bersama-samanya, sebagaimana yang dipinta oleh lelaki tadi jika aku di ajaknya.

Kenapa yakin? Kenapa tidak sahaja percaya? Kenapa perlu yakin dan percaya? Haiii..aku mengeluh. Susah nak menerangkannya. Namun, begitulah keadaannya, begitulah hakikatnya dalam rukun iman sendiri pun, seandainya kita percaya yakni beriman dengan Allah. Kita yakini Allah itu tuhan sekalian Alam, Allah itu maha berkuasa, segala yang berlaku itu adalah kehendak dan kemahuan Allah, islam dan hukum Allah itu yang terbaik namun sekiranya kita sedar ataupun tidak masih ada lagi keraguan kita tentang semua itu. Kita percaya tapi kita tidak yakin, sebagaimana cerita gambaran tadi. Oleh itu, bagaimanakah kita? Adakah kita betul-betul yakin dengan keimanan kita kepada Allah S.W.T. Benar !! Sungguh!!…kalau begitu Alhamdulillah. Semoga kita di antara manusia yang dipelihara keimanan mereka. InsyaAllah. Ingatlah sentiasalah letakkan yakin dan percaya dalam kita mengimani 6 rukun iman yang sedia ada. Rukun iman pertama, beriman kepada Allah bermakna kita menyakini dengan hati dan lisan, dan mengamalkan dengan perbuatan sesungguhnya Allah itu tuhan yang maha esa. Tiada tuhan yang selayaknya disembah melainkan dia. Betul tak? Betul..dengan ini segala apa suruhan-NYA harus kita taati dan larangan Allah harus kita jauhi. Contohnya dalam solat lah..kita percaya Solat itu wajib dan meninggalkanya secara sengaja adalah suatu dosa, namun kenapa kita masih dapat melihat mereka-mereka dan mungkin diri ku sendiri (astagfirullah), mengabai dan melambat-lambatkan solat malah mungkin ada yang terus menerus tinggal dan meninggalkan solat. Kenapa ini berlaku? Itulah jawapannya..mereka percaya tetapi mereka tidak yakin. Mereka “percaya” solat itu wajib namun mereka tidak “yakin” solat itu nanti yang akan menjadi hujjah amalan pertama yang akan dilihat di hari pembalasan nanti. Sebelum puasa, zakat dan lain-lain. Contoh lain Hari Kiamat..berapa ramaikah yang bersedia untuk menghadapi kiamat??...tepuk dada tanya iman.

Kembali kepada masalah ku..satu atau lima? Aduhai!! tidak bolehkah sebelas, kenapa perlu tiga, empat aku tak mau. Habis mau tak mau. Pening-pening. Mungkin Penyelamat Dunia dapat menyelamatkan ku. Pendekar Laut pula sudah tiada. Aiseyy. Sukarkan. Sukar. Tetapi tadi kata dah yakin..kata dah percaya. Iya..aku percaya, dan aku yakin..Tetapi?? berikanlah aku sebuah harapan, kerana penantian tanpa pengharapan itu sebuah kesakitan. Pengharapan itu pasti akan menyuburkan lagi keyakinan dan kepercayaan, sebagaimana dalam cerita AVATAR The Legend Of Aang. Aang The Avatar, yang telah muncul kembali setelah menghilangkan diri selama 100 tahun, kini muncul kembali untuk menyelamatkan dan menyatukan kembali 4 buah Negara Air dan Api dan Udara dan Tanah. Walaupun ‘masa’ demi ‘masa’ berlalu..keamanan dapat dikembalikan. Hhmm..MASA, ada apa dengan masa?????

Tuesday, April 28, 2009

Masanya Memilih Jalan Bermadu(11)

Tuah dan Jebat

Hang Jebat dan Hang Tuah siapakah yang tidak mengenali mereka, seorang penderhaka dan penegak kebenaran, seorang lagi taat dan setia, sehingga tidak dapat membeza yang benar dan salah.Sedang aku membelek-belek blog-blog blogger lain, aku sempat membaca sedikit ulasan seorang rakan blog berkenaan Tuah dan Jebat berdasarkan sebuah filem iaitu Hang Jebat (1961) lakonan Nordin Ahmad (jebat) dan M.Amin(Tuah). Filem ini kalau nak diikutkan bukanlah jauh bezanya jarak masa dengan penghasilan filem lagenda arahan seniman Negara P.Ramlee..iaitu Hang Tuah. Namun cantiknya filem Hang Jebat ni kerana walaupun jaraknya dengan filem ‘abang’nya Hang Tuah cuma sekitar 5 tahun (dikira rapatlah), tapi dari segi dialog & lakonan, Hang Jebat langsung tak meniru Hang Tuah, seolah-olah filem Hang Tuah tak pernah wujud sebelum ni.


Seawal muzik pembukaan lagi filem Hang Jebat ‘menyesakkan’ nafas dengan skor muzik pembukaannya yang mengemparkan, kemudian sayu, rancak bertenaga mengikut irama silat yang biasa kita didengar, kemudian gempar semula, sayu, seolah-olah menggambarkan ‘kerusuhan’ isi kandungan filem ni.Scene pertamanya sudah cukup tegang. Adegan pembesar-pembesar Melaka yang diketuai oleh Patih Karmawijaya mendatang sembah derhaka kepada Sultan Melaka dengan cara mempersembahkan tengkolok masing-masing di hadapan Sultan begitu tegang. Wajah gusar Datuk Bendahara & Datuk Temenggung begitu ketara, kecelaruan Sultan juga terpancar melalui titahnya supaya Hang Tuah dibunuh, walaupun celaru tetapi masih ego mempertahankan titahnya.Permulaan yang sebegitu cemerlang ini sebenarnya memerangkap penonton yang tidak tahu hujung pangkal sejarah Hang Tuah. Tapi disebabkan sejarah Hang Tuah ni dah memang famous, maka atas tuduhan apa Hang Tuah difitnah sengaja tak diceritakan. Tau-tau saja Hang Tuah dihukum bunuh & Hang Jebat membelanya, walaupun diberi amaran oleh Hang Tuah agar jangan derhaka kepada Sultan melalui pesannya “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

Adegan-adegan filem ni seterusnya menyaksikan kedudukan Hang Jebat yang semakin kukuh di istana sehingga tidak ada sesiapapun yang berani mencabarnya. Sultan sendiri pedih melihat Hang Jebat secara terang-terang berani menentangnya, tapi dia sendiri tak mampu berbuat apa-apa, akhirnya berundur ke rumah Datuk Bendahara.

Hang Kasturi, Lekir & Lekiu yang biasanya digambarkan ‘neutral’ & hanya menurut titah Sultan sebagai pesuruh ‘dihukum’ di dalam filem menjadi lebih tidak berhati perut, sekadar menganggap kezaliman terhadap Hang Tuah sebagai ‘perkara biasa yang terjadi di mana-mana’ (bukankah itu juga alasan orang-orang sekarang yang tau orang tu dizalimi tapi masih tak amik peduli?)

Seperti yang semua sedia maklum, Hang Tuah muncul semula untuk membunuh Hang Jebat tetapi hasratnya ditentang secara keras oleh isterinya sendiri. Hang Tuah menjadi selemah-lemah makhluk yang tewas dengan isterinya, malah tewas 2 kali dengan Hang Jebat. Yang lebih memalukan, sewaktu Hang Tuah tewas tanpa sebarang senjata di tangan, Hang Jebat dengan jelas berkata “Aku boleh bunuh kau Tuah kalau aku mahu, tapi apalah gunanya…”.

Sebagai pendekar sejati sepatutnya Hang Tuah berasa malu kerana Hang Jebat sendiri tak mahu membunuhnya, tapi dia beriya-iya mahu membunuh Hang Jebat malah menendang kepala Hang Jebat sewaktu Hang Jebat sedang melutut & merintih di hadapan Hang Tuah, seterusnya menyambar keris Taming Sari yang terlekat di dinding. Hang Jebat sekali lagi mempamerkan keengganannya menentang Hang Tuah dengan terang-terang menyerahkan tubuhnya untuk ditikam oleh Hang Tuah, tetapi Hang Tuah enggan membunuh Hang Jebat tanpa bertikam.

Kesudahannya seperti yang sedia maklum, Hang Jebat ditikam oleh Hang Tuah. Tapi adegan Hang Jebat ditikam dibuat begitu kreatif (ditikam di sebalik langsir istana) & syot darah yang membuak-buak terus diikuti dengan wajah Hang Tuah yang kesal dengan tikamannya. Penyesalan yang instant! Hang Tuah jadi keliru kerana perasaan taatnya terhadap Sultan semasa bertikam dengan Hang Jebat telah hilang entah ke mana setelah Hang Jebat berjaya ditikamnya. Kekeliruannya berlanjutan apabila Hang Tuah meninggalkan Hang Jebat begitu saja dalam keadaan Hang Jebat merintih “sampai hati kau bunuh aku Tuah”.

Hang Jebat seterusnya mengamuk membunuh orang ramai sebelum tiba di rumah Hang Tuah. Ironinya sewaktu di rumah Hang Tuah, apabila Hang Kasturi memberitahu Hang Tuah bahawa Hang Jebat masih hidup, Hang Tuah begitu gembira & karektornya terus bertukar menjadi saudara akrab yang cukup penyayang. Berkecamuknya pendirian seorang yang bernama Hang Tuah ni. Selepas Hang Jebat mati di pangkuan Hang Tuah, sekali lagi Hang Tuah ‘ditikam’ dengan tangisan Dang Baru (Latifah Omar) yang merintih kenapalah orang sanggup membunuh abang Jebat sedangkan hatinya mulia & perjuangannya untuk keadilan.


Kartun Tuah dan Jebat 1


Kartun Tuah Dan Jebat 2

Sebenarnya Tuah & Jebat bukan sekadar sejarah biasa yang dihikayatkan turun-temurun untuk generasi Melayu. Tuah & Jebat wujud di mana-mana, malah di waktu sekarang juga. Cuma orang itu sendiri tak sedar dia ialah Tuah ataupun dia ialah Jebat. Berapa ramai orang yang tak berpendirian yang menurut perintah orang atas walaupun dia tahu itu tidak betul seperti perangainya Hang Tuah? Berapa ramai yang telah mengikut jejak Hang Tuah yang putus saudara disebabkan kebenaran sehingga sanggup membunuh rakan karibnya sendiri semata-mata kerana titah Sultan yang ‘buta’ mata perut? Berapa ramai pula yang bijak seperti Datuk Bendahara yang masih ada ikhtiar & akal untuk mengelakkan kezaliman walaupun dihimpit untuk melakukan ketidakadilan? Berapa ramai pula yang berani bangkit menentang kezaliman seperti Hang Jebat & berapa ramai pula yang melabel orang-orang seperti seperti Jebat ini sebagai derhaka & tak mengikut perintah pemimpin, tapi dia sendiri bisu apabila berdepan dengan kezaliman? Berapa ramai pula yang bermuka-muka seperti Kasturi, Lekir & Lekiu? Berapa ramai pula pemimpin yang takde kepala hotak & membuat keputusan ikut hawa nafsu seperti Sultan Melaka? Yang busuk hati & khianat macam Patih Karmawiyaja berapa ramai pulak?

Jebatkah kami? Tuahkah kami?Lu Pikiaq lah sendiri..



Kalau sungguh cerita Tuah & Jebat ini bermakna maka tidak sepatutnya kelemahan watak-watak di dalam kisah mereka diulangi oleh generasi sekarang, mahu pun akan datang. Tapi kenapa ianya terus berulang & berulang? Memang mudah kalau ditanya sesiapapun sekarang, siapa yang kau sokong, Tuah atau Jebat, dah tentu mereka akan kata Jebat. Tapi sedarkah dia yang dia sendiri mengikut perangai Tuah tanpa dia sedari, sekaligus menyaksikan pengulangan ‘perangai lama’ Melayu sejak zaman kesultanan Melayu Melaka sampailah sekarang.Selagi penyakit lama ni tak hilang, selagi itulah cerita Tuah & Jebat akan terus kekal sebagai ‘cerita terhebat’ orang Melayu. Cerita Tuah & Jebat inilah contoh terbaik ’sejarah terus berulang’. Persoalannya, kenapa terus berulang?

Habis siapakah Jebat ini? Adakah aku juga seorang penderhaka, atau adakah aku si penegak kebenaran. Mungkin ada merasakan jebat ini tidak setia umpama Tuah yang tetap setia? Apakah jebat ini..sedangkan ramai yang ingin menjadi seperti jebat, bergelar penegak keadilan, pemegang kebenaran, mementingkan persaudaraan dan percintaan..namun jawapan jebat? jebat tetap jebat.Jebat sedar dia bukanlah yang terbaik. Tapi satu pesan jebat:


“Andai roboh kota di Melaka”
“papan di jawa kami gantikan”
“Andai jebat luluh darah dagingnya”
“biarlah islam dan syahid jadi impian”

p/s: Hai bang tuah !!..ada ape2 nak komen ke? kang tertusuk keris sendiri kang? ahaks

Saturday, April 25, 2009

Masanya Memilih Jalan Bermadu (10)

Bicara Roh-Adaptasi Idea Seorang Teman


Semenjak dua menjak awal-awal subuh, jasadku mudah terjaga dari tidur. Aku yang sepanjang malam berehat menunggu jasadku berasa sedikit lega. Sungguh? menunggu adalah sesuatu yang meletihkan. Jasadku mengintai jam dihandsetnya. Nada dering dendangan Ustaz Akil Hayy sudah kerap kali didengari.”Umat Islam harus cemerlang, hari ini lebih baik dari semalam…hingga akhir”. Kadang-kadang jenuh dan lenguh mendengar. Baru pukul 5.30 pagi. Jasadku tidur semula.

Aku berasa sedih. Bukankah 5.30 pagi itu sudah hampir dengan waktu subuh? Sekurang-kurangnya bangunlah wahai jasad, dirikan solat dua rakaat. Selama hidup ini, jarang sekali aku diberi makanan yang berkhasiat. Hanya jasad sahaja menikmati makanan-makanan yang pelbagai. Aku semakin resah. Azan subuh sudah lama berkumandang. Jasadku seperti tidak mendengarnya. Wahai jasad, bangunlah. Jangan kita terlepas waktu subuh. Aku meronta-ronta seakan mahu jasadku bergegas bangun.

Alhamdulillah. Lewat subuh. Akhirnya jasadku bangun juga. Setiap kali waktu subuh, jasadku sentiasa membuatkan aku cemas dan risau. Cemas terlepas waktu subuh. Apatah lagi risau hendak mendapatkan solat subuh berjemaah..kini agak kian susah. Hari ini jasadku masih sama, solat berjemaah terlepas lagi. Aku sedikit lega kerana jasadku tidak terlepas solat Subuh. Aku masih mengharapkan jasadku bangun lebih awal untuk solat subuh berjemaah dengan sebagaimana jasad-jasad yang lain yang hadirnya akan hidayah.

Pagi semakin bersinar. Matahari semakin tinggi. Begitulah aku, disaat aku turut mengharapkan dan menunggu sarapan pagiku sebagaimana jasadku yang sedang menikmati sarapan pagi yang enak. Amboi sedihnya, setiap pagi aku dilayan sebegini rupa. Aku seperti ditindas, sedangkan si jasad dijaga dengan baik. Sekali lagi aku berduka. Berduka kerana jarang sekali sarapan pagi untukku disediakan. Sekali sekala sahaja jasadku membaca al-quran. Jarang-jarang sekali jasadku menunaikan solat sunat dhuha. Sedangkan itulah makanan aku dipagi hari, namun yang pasti jarang-jarang sekali aku mendapatnya.


sarapan untuk ku

Matahari sudah beransur terbit, Jasadku bersiap-siap untuk ke tempat kerjanya, menimba ilmu dunia mencari timbunan kekayaan. Huh hu, bersungguh-sungguh benar jasadku mengejar masa, bimbang kalau-kalau terlambat masuk tempat kerja. Sedangkan? Aku dibiarkan bodoh sendirian. Jarang sekali aku dibawa menimba ilmu-ilmu fardhu 'ain. Butakah jasadku? Pekak jasadku? Ia seperti tidak menyedari bahawa aku dan dia adalah satu, tercantum diberi nama manusia. Jasadku tidak menyedari yang aku sering menderita, resah, cedera dan sebagainya dengan setiap perbuatannya.Hari ini aku dilukai lagi. Dilukai? Sebagaimana biasa, oleh jasadku.Ia yang bertanggungjawab menyeksa dan menyakitkan aku. Sedang jasadku tidak menjaga penglihatannya. Tidak menundukkan pandangannya. Setiap kali itulah dosa yang diperolehnya. Ia tak ubah adalah seperti pisau tajam yang melukai aku. Aku bagai didera oleh jasadku sendiri. Jasadku!! tidakkah engkau mendengar rintihanku? Tidakkah engkau mempunyai belas-kasihan kepadaku?Lihat pula kini, jasadku bergelak ketawa dengan rakan-rakannya. Aku juga dapat melihat roh-roh dalam jasad-jasad lain di sekelilingku, juga kelihatan bersedih, menderita, tidak sihat, sepertiku jua. Sedangkan sang jasad-jasad mereka masih boleh bergelak ketawa. Apakah nasib semua Roh , melihat jasad-jasadnya tidak langsung peduli kepada rohnya. Apalah malang nasib kami semua.



Aku sedar, tugas aku dan jasadku yang diberi nama manusia, dihantar ke dunia ini mempunyai matlamat iaitu mengabdikan diri kepada ALLAH, menjadi khalifah ALLAH di muka bumi. Apakah jasadku lupa dek kerana kini tidak pernah diperingat oleh sesiapa? Ingatlah..Aku pernah berkata di depan ALLAH, yang aku sanggup untuk memikul amanah menjadi khalifah di muka bumi. Aku sanggup. Kita sanggup wahai jasad. Tetapi apakah yang telah berlaku jasadku? Adakah kau lupa jika kita gagal menunaikan amanah ini, azab neraka pasti akan membakar kita?Apa guna kau sihatkan tubuh badanmu, sedangkan aku kau biarkan kurus tidak bermaya? Wahai jasaku! bukalah matamu. Bukalah telingamu. Bukalah pintu hatimu. Aku sedang berbicara denganmu!Kata-kata aku bagaikan angin berlalu.

Jasadku tidak mendengar apa-apa. Dia masih leka dengan rakan-rakannya. Apabila masuk waktu zohor, jasadku menuju ke surau masjid. Alhamdulillah. Aku akan mendapat sedikit kekuatan dan kelegaan. Aku mendapat sedikit penyembuhan. Terasa begitu nyaman dan selesa ketika jasadku mula berwudhuk. Luka-luka kecilku sembuh perlahan-lahan. YA!!..benarlah wudhuk itu dikatakan menggugurkan dosa-dosa kecil. Suasana bertambah nyaman apabila jasadku bersama-sama ahli jemaah yang lain menunaikan solat fardhu zohor.Indah aku terasa bagaikan sudah berada dikayangan.Aku mendapat sedikit kekuatan. Walaupun solat jasadku tidak begitu khusyuk, aku rasa ada sedikit kelegaan. Tetapi aku tidak terus rasa selesa. Aku tidak tahu apa yang jasadku akan lakukan lagi. Setiap hari aturannya lebih kurang sama. Aku dicederakan dengan banyaknya, kemudian sekali sekala aku dirawat dan diberi makan. Selepas itu aku dianiaya semula. Aduhai jasadku... bagaimana jika engkau sendiri diperlaku begini?.

Lepas solat Asar, jasadku keluar untuk bersama-sama rakan-rakannya berjogging di tasik. AH!!...jasadku! kau lebih pentingkan kesihatan dirimu daripada kesihatan aku. Padahal setelah engkau mati nanti, tinggallah aku yang akan mewakili engkau untuk berdepan dengan ALLAH. Sedangkan engkau akan hancur dimamah tanah. Bagaimana aku mahu bertemu ALLAH dalam keadaan aku yang kurus kering, mengalami luka-luka akibat perbuatanmu, menghidapi pelbagai penyakit yang engkau bawa?Dalam keadaan sedih begitu, aku terpandang ada lagi roh-roh yang lebih menderita. Pemandangan ditasik dipenuhi jasad-jasad yang mendera rohnya. Jasad mereka tidak menutup aurat. Jasad mereka berdua-duaan lelaki dan perempuan. Betapa besarnya luka mereka, berdarah. tetapi jasad-jasad mereka tetap ceria, bergurau senda dan bergelak ketawa. Alpa. Waktu maghrib sudah masuk. Syukurlah jasadku masih ingat untuk menunaikan solat maghrib berjemaah. Namun aku simpati dengan beberapa roh yang aku nampak merayu-rayu kepada jasad masing-masing yang tidak mendengarnya. Aku tidak dapat berbuat apa-apa. Jasadku tidak menegur dan menasihati jasad-jasad mereka. Wahai jasadku, bukankah tugas kita itu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran? Kenapa kau tidak menjalankan tugas kita? Tahukah kau, kita akan disiksa dengan sebab kemalasan engkau?Lepas solat maghrib berjemaah, aku rasa senang hati sedikit apabila jasadku menunggu untuk mendengar kuliyah maghrib tidak siaran berita di peti televisyen. Aku rasa luka-luka aku dirawat lagi. Aku rasa selesa sedikit. Malah aku dapat makanan yang agak banyak ketika itu. Malangnya, jasad aku tertidur di akhir-akhir kuliyah. Malangnya makanan aku disekat sebelum habis aku makan. Oh jasadku...beginikah cara engkau melayan aku.

Selepas solat Isyak, aku menunggu apa bentuk amalan jasadku selepas ini. Aku lihat roh-roh yang ada dalam jasad ahli-ahli jemaah solat isyak tadi sedikit lega, sama sepertiku. Alangkah baiknya jika roh-roh yang banyak di tasik tadi dapat merasai sedikit kelegaan seperti kami di sini. Apakan daya... jasad mereka lebih kejam daripada jasad-jasad kami.Jasadku melepak dalam bilik sambil melayari internet, dan bermain game sudahlah tentu. Aku rasa seperti diberi minum air yang payau. Sukar untuk ditelan, tetapi aku dipaksa. Jasadku senang gembira melakukan aktiviti yang sia-sia. Harapan aku kembali lega apabila jasadku mula mengantuk. Aku dapat berehat lagi daripada penderaan oleh jasadku sendiri tatkala dia tidur.

Aduhai jasad, aku dapat melihat jasadmu yang nyenyak tidur dibuai mimpi. Sedangkan aku, masih berbicara seorang diri. “Alangkah baiknya jika jasadku mendengar rintihanku!” “Alangkah baiknya jika jasadku mendengar tangisanku!” merintih dan merayu aku kepada jasadku.Astagfirullah. Ampuni Jebat Ya Allah.

Sunday, April 19, 2009

Masanya memilih Jalan Bermadu (9)

Aku..?? Sebuah Analogi Pohon Hijau


Sudah berminggu-minggu rasanya, pohon cili hijau di halaman rumahku melayu. Entah kekurangan air, baja ataupun cahaya. Aku sukar menyangkanya. Setelah hampir setengah tahun, aku menanamnya. Ketika daunnya subur dan tumbuh dengan baiknya. Namun ia masih belum berbuah. Usahanya, tanahnya aku gembur, bajanya tidak lupa aku tabur. Bahkan bukannya tanah biasa tetapi yang bernutrisi tinggi, segar dari pusat penternakan kambing. Aku gigih membajainya setiap minggu hingga ke minggu, bekalan dari ibunda tercinta. Tapi masih tetap sama, pohon hijau tidak juga berbuah. Kini? Adakah masanya telah tiba…daunnya kian kecut dan mengecut. Satu persatu mula tunduk menghala ke bumi, Cuma yang masih baik, belum ada daunnya yang gugur ke tanah. Entah sampai bila batangnya bertahan untuk tegak dan membesar. Siraman air telah berhenti, pencahayaan pun kian sukar didapati. Pohon hijau aku menunggu hari, untuk tersembam ke muka bumi.





aku si cili hijau, pedas tapi sedap



Sesekali tatkala senja aku merenung nasib pohon hijauku, jauh fikiran ku melayang. Kerana mengambarkan analogi diri seumpama anak benih si pohon hijau itu. Teringat suatu ketika dahulu, di rumah, di sekolah, di UKMKL aku hidup dilaman yang subur. Disini aku dibenih, aku disemai dan dibajai ilmu yang menggunung. Baik ilmu duniawi mahupun ukhrawi. Aku tersiram airnya kasih sayang para sahabat dan naqib-naqibahku, tidak pernah kurang dan tidak berlebihan. Pancaran cahaya jemaah yang menerangiku, memantulkan aku seorang insan yang bersih dan lagi suci. Namun kini, tanah subur yang ku diami, semakin lama semakin jauh aku tinggalkan. Menandakan diriku, anak benih yang sudah matang, sudah berupaya untuk bertapak sendiri. Malangnya ibarat benih baru yang dicampakkan, aku tak berupaya untuk menjadi pohon yang kukuh seperti yang penyemai-penyemai ku harapkan. Tanah yang ku diami kini, bukanlah tanah gersang, ataupun tanah yang sentiasa dibajai (tanah berih), ia hanyalah sebuah tanah yang sedang-sedang saja, antara subur dan tak subur . Zaman dulu sudah pergi. Aku kini bersendiri, memaksa akar-akarku mencari pancaran iman, dan siraman takwa di setiap genap pelusuk ruang yang ada. Ada yang berada jauh, ada yang berada dekat. Semuanya atas kehendak, bukan lagi disuap.
pulau di kepulauan pantai

Jadi, apakah permasalahannya, wahai si anak benih? Timbul sebuah tanda tanya. Bukannya air tidak kau perolehi. Bukannya pancaran cahaya jemaah tidak kau fotosintesiskan? Apakah permasalahanmu apakah permasalahanmu , wahai si anak benih? Ya benar, air, cahaya dan tanah semuanya aku ada, Alhamdulillah, aku bersyukur aku berjaya juga menjadi si anak pokok. Cuma aku sedari, aku rindukan siraman air yang dahulu, gemburan tanah yang subur dan pancaran cahaya yang benar-benar mengambil berat tentangku. Airku kini bercampur baur kelodak lalai dan mendakan dosa. Tanahku ku tempati berisi bom jangka yang menunggu masa. Pancaran cahaya yang ku perolehi malap dan semakin malap. Aku terkesima. Salah siapakah ini? Mengapa tidak aku mampu untuk tumbuh subur sebagaimana aku disemai dahulu. Aku bukannya benih yang biasa, aku disemai dan dibajai dengan terbaik oleh suasana dan penyemai yang terbaik. Aku disemai untuk menjadi pulau andai aku tercampak di lautan yang luas. Boleh memberikan manfaat dan maslahat kepada yang memerlukan. Tapi hasilnya kini, aku gagal. Aku gagal menjadi sebuah pulau yang baik.

Chaiss, bangsat kau duhai anasir-anasir serangga jahat yang merosakkan aku. Yang meracuni aku dengan noda dan dosa keparat. Yang melalaikan aku dengan serangan-serangan lalai dan leka. Yang menipu aku dengan harta dan kekayaan. Mereka kini sedang membunuh aku, merosakkan aku semahunya. Ya Allah selamatkanlah aku, kau hantarkanlah pendamping yang solehah untuk aku. Ibarat semburan racun serangga “Ridsect” membunuh dan menghapuskan segala kejahatan yang ditinggalkan terhadapku. Ya Allah, kau bekalkanlah penyokong solehah untuk aku. Ibarat sebatang kayu yang dipacak di dalam pasu ku, untuk menunjukku dan membetulku. Ya Allah, kau bekalkanlah penyubur yang solehah untuk aku. Ibarat bijian baja yang ditaburkan memberikan tenaga dan keriangan. Semoga anak benih ini menjadi anak pohon cili yang selamat sehingga akhirnya menjadi suatu pulau yang bermanfaat. Dikelilingiku anak buah-buahan bersama pendamping yang setia, penyokong yang memahami dan penyubur yang menggembirakan. InsyaAllah bi’iznillah.