Monday, April 6, 2009

Diari Seorang Pencari 'Madu'

“Trip Untuk Rakyat” antara Dakwah Dan Tarbiyyah


Seperti biasa malam itu, di pejabat HPA Bandar Tasik Selatan. Terjongol beberapa susuk-susuk tubuh pemuda, di perkarangan parking bahagian bawah pejabat HPA. Pejabat HPA yang berada ditingkat dua sudah pun kelihatan bercahaya, menandakan sudah ada manusia berpenghuni didalamnya. Sudah pasti si izny, kalau tidakpun si Izny bersama naqib kami, Abg Azmeer. Memang sudah kebiasaannya kedua-duanya untuk sampai lebih awal daripada kami. Si Izny memang ditugaskan untuk membuka pejabat HPA manakala Abg Azmeer memang senantiasa cuba menempati masa yang telah ditetapkan. Dan kemudian selepas beberapa minit, barulah muncul kelibat si Epul dan Hirzi. Ataupun kadang-kadang si Hirzi terlebih dahulu dan Epul kemudiannya. Cuma yang pasti dan tetap pasti, pastilah aku yang paling lewat dikalangan mereka. Menunggang motor si Jimbit yang dipinjam kepadaku. Aku senang untuk bertolak terus dari makmal kerjaku berbanding pulang ke rumah terlebih dahulu. Mungkin kerana ia lebih senang buatku dan untuk aku terus menunaikan solat isyak.

Hari ini diberitakan cuma kami berlima sahaja yang akan hadir, kawan-kawan usrah yang lain kebanyakannya agak sibuk pada malam ini. Namun begitu Usrah tetap kami teruskan kerana meraikan kesungguhan naqib kami dan juga semangat-semangat usrah di antara kami. Seperti biasa, usrah di mulakan dengan bacaan Al-maathurat berjemaah. Abg Azmeer memimpin bacaan Al-maathurat sehinggalah di akhirinya dengan doa. Minggu ini, kami masih lagi menggunakan buku karangan Syed al-Byuti. Walaupun demikian, sebagaimana yang dijanjikan.Abg Azmeer meminta kami untuk membentangkan tugasan yang telah diberikan iaitu berkenaan tafsir ayat Taawuzz dan ayat pertama iaitu Basmalah. Kami bergilir-gilir memberikan kupasan, hinggalah aku sendiri juga sempat berkongsi beberapa perkara yang telah ku cedok dari pengalaman lalu dan juga sedikit pencarian ku di laman internet. Suatu perkongsian dan kupasan yang menarik oleh masing-masing yang hadir, sehinggalah rangkuman dan simpulan yang bernas dan tepat dibuat Abg Azmeer menjadikan kami yang hadir di majlis ini, mengangguk-nganguk bersetuju dan berpuas hati.

Setelah selesai majlis usrah, agenda seterusnya dibincangkan. Trip ke Bukit Gantang. Misinya untuk menyampaikan sumbangan alumni. Dan juga mengerah keringat memancing undi untuk IR Nizar. Kami semua bersetuju, untuk bertolak ke bukit gantang pada hari sabtu, pukul 4 pagi. Sebuah kereta akan digunakan pakai, samada kereta Epul atau Abg Azmeer. Tapi itu tidak menjadi masalah. Selepas itu, kami juga menetapkan kami akan berkumpul dan tidur di rumah Epul terlebih dahulu, iaitu di sungai buluh bagi melancarkan perjalanan. Akhirnya, setelah semua persetujuan dicapai, kami mula bergerak balik ke rumah. Semua keletihan tapi begitu teruja menanti tibanya hari esok.

Begitulah seperti biasa jumaat hari bekerja bagi kawasan kuala lumpur dan sewaktu dengannya. Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang, kebanyakan rakan-rakan kerja ku telah pulang ke rumah atau kediaman masing-masing. Yang tinggal Cuma aku dan dua orang temanku, hairul dan seorang lagi hidayah. Kebetulan kami menginap di apartmen yang sama dan di blok yang sama, blok B, Hairul adalah rakan serumahku dan hidayah adalah coursemate& work-mate kami. Sebagaimana kami, Hidayah ataupun lebih mesra dengan panggilan Dayah Hassan tinggal bersama-sama pakciknya di tingkat 10, manakala aku dan hairul gigih menyewa di tingkat 4. Begitulah aku, setiap kali hujung minggu memang sudah menjadi kebiasaan bagiku untuk “stay” lebih lewat di makmal. Bukan sahaja untuk menyelesaikan kerja-kerja yang belum siap tapi bagi memastikan segala kerja yang tertangguh selesai. Kerana kami sebolehnya sedaya upaya cuba untuk mengelakkan diri daripada terpaksa datang ke makmal di hujung minggu dan mengorbankan cuti hujung minggu yang ada. Apatah lagi aku yang hujung minggu nanti akan bertolak ke bukit gantang pada pukul 4 pagi nanti, sudah tentulah langsung tak berkesempatan untuk menjengah ke makmal samada hari sabtu ataupun ahadnya. Akhirnya segala kerja berjaya diselesaikan, walaupun kebanyakan masaku lebih banyak didepan komputer berbanding kerja-kerja makmal yang tertangguh. Tapi begitulah hidup dan bekerja di makmal, ia tidak seperti kerja-kerja yang biasa. Kadang-kadang di masa menjalankan kerja-kerka makmal ini, “mood” atau pun perasaan untuk membuat kerja makmal perlu ada, kerana kalau tidak pastinya kerja-kerja yang dilakukan tidak mendapatkan hasil yang memberangsangkan. Ini kerana setiap kerja atau ujian makmal yang dijalankan, fokus yang tinggi diperlukan bagi memastikan kita sentiasa sedar dan tahu apa yang dilakukan, di samping meminimunkan sebarang kesilapan yang bakal berlaku.

Jam 11.30 malam, aku sudah pun berada di rumah. Beg dan peralatan yang hendak di bawa sudah ku sediakan. Lap top, kamera handphone dan chargernya ku simpan siap-siap. Semua ini alatan penting bagiku. Setelah itu, aku hanya menantikan saudara Izny untuk datang mengambilku. Kami sudah berjanji untuk bertolak bersama-sama, menaiki motorsikal Elegan nya. Wah..wah, laju cukup laju. Cuma pasti yang tidak akan mempercayainya si Izny boleh membawa Elegan apatah lagi memboncengku dibelakang.(p/s:aku berbadan sasa sperti the Rock, hensem bergaya, juga sangat kacak seperti hirthik roshan). Izny tiba di perkarangan rumah ku. Sampai-sampai, sahaja setelah menyambut salamnya..Izny memberitahuku akan musibah yang menimpa abg azmeer. Beliau tidak dapat ikut bersama ke bukit gantang kerana terpaksa pulang ke Melaka pada malam itu juga atas sebab-sebab peribadi yang tak dapat dielakkan. Saudara Hirzi pula tidak dapat dihubungi. Hp berbunyi tetapi tidak diangkat. Izny dan aku saling berpandangan. Terpancar wajah kehampaan di raut wajah kami berdua. Tapi Alhamdulillah, sedikit pun tidak terpacul dibibir dan hati kami untuk membatalkan perjalanan. Kami berkeputusan untuk ke rumah Epul terlebih dahulu, dan sebarang keputusan kami tentukan disana. Kami terus memecut Elegan ke sungai buloh.

Lebih kurang 45 minit perjalanan, kami tiba di rumah Epul. Epul menjemput kami masuk kerumahnya. Senyap sunyi tiada sesiapa melainkan Epul sehaja. Dua rakan serumahnya keluar dan tiada dirumah. Kami memaklumkan Epul apa yang berlaku. Kami berbincang sesama kami. Setelah itu, keputusan telah ditetapkan, akhirnya kami bersepakat untuk masih meneruskan perjalanan. Tanpa Abg Azmeer, naqib kami. Si Hirzi, kami cuba mendial hp nya sekali lagi. Masih berbunyi Cuma tidak diangkat, baru sahaja Epul ingin meletakkan panggilannya. Telefon Hirzi seolah diangkat dan benar yang menjawab adalah si Hirzi. Rupa-rupanya Hirzi tertidur dan masih lagi ditempat kerjanya. Kami sememangnya maklum dengan Hirzi, andai tidur, usahkan kan jam loceng diletak ditelinganya, bunyi meriam kalau diletupkan ditepi telinganya tetap tidak akan sedar. Inikan pula “ringtone” dari handsetnya. Akhirnya kami menangguh perjalanan kami. Dari pukul 4 pagi ke 8 pagi. Itu pun selepas kami mendapatkan sarapan di kedai berhampiran sambil-sambil menunggu kedatangan Hirzi dari arah K.L. Akhirnya TRIP UNTUK RAKYAT bermula.

PERAK negeri untuk Perjuangan dan dakwah

Pengalaman pertamaku, disaat pusingan tayar kereta melepasi antara dua sempadan negeri Selangor dan perak. Hatiku seolah-olah berada didalam suatu ketenangan yang amat. Suasana di negeri perak tak ubah seperti suasana di Kelantan. Cuma mungkin mereka lebih maju dan sebelum ini diperintah oleh parti pemerintah. Tapi dulu ataupun kini perak masih milik pembangkang, walaupun mereka, parti pemerintah mengatakan ia hak mereka. Ahh!! Sudah..perak tetap milik kami. Perak sudah seakan Kelantan. Ia saudara kami. Kalau tidak kenapa kami rakyat di negeri Kelantan bertebaran disini. Tak lain tak bukan untuk menyatakan sokongan kami kepada saudara kami disini. Aduhai!! Penduduk negeri perak, sabarlah dan tenanglah kamu, kamu hanya baru sedikit diuji. Sedangkan kami sudah berbelas-belas tahun kami ditekan dan dizalimi oleh mereka. Tapi Alhamdulillah berkat pimpinan Tuk Guru, kami masih kekal disini. Begitu juga kamu duhai perak, kamu punyai tokoh yang tidak kurang hebatnya Tuk Guru kami. Kamu punyai IR Dato’ Seri Nizar, tokoh yang baru memunculkan diri di saat sebelum ini tiada yang mengenalinya melainkan yang rapat dengannya. Berpeganglah dengannya, bersamalah dengannya kerana kami juga bersamanya. Sedangkan Tuk guru kami merestuinya untuk bertanding di bukit gantang, apakah kami rakyat di Kelantan tidak menyahut seruan Tuk Guru kami untuk datang berjuang di negeri mu duhai perak. Wahai rakyat perak ayuh bangkit, dan hapuskan kezaliman, kembalikan semula keadilan penduduk mu. Bersama-samalah IR, biar kita gempur petualangan agama. Andai mereka, lawan kita membahasakan kita petualang bangsa, kami pula mengangap mu wahai lawan kami PETUALANG AGAMA. Keris panjang mu takkan terdaya melawan doa-doa kami dan batang-batang tubuh kami.

Di sini, IR tidaklah kami ke temui, bahkan untuk bertemunya memang agak sukar. Jadual kempennya bersama rakyat teramatlah penuh. Namun sentiasa dipenuhinya. Begitulah kami, aku dan Hirzi. Izny dan Epul. Berasing-asingan menjalankan tugasan yang diberikan. Hirzi dan aku ditugaskan untuk membantu khidmat masyarakat di UPU Sungai Limau, di mana terletak di kawasan yang agak pedalaman sedikit manakala Epul dan Izny bermain di sekitar Bandar kecil Changkat Jering. Ini pun juga kerana mereka ingin menyerahkan amanah, berupa sumbangan dan dana dari para Alumni. Tugasan mereka selesai lebih awal, sumbangan dana sudah diberjaya disampaikan walaupun bukan pada IR sendiri, tapi tetap kepada wakil yang di lantiknya. Gambar, resit dan bukti-bukti penyampaian semua dicatitkan. Ini penting untuk dokumentasi kami, sambil jua kenang-kenangan buat kami. Hirzi dan aku pula bertungkus lumus di sini, menjalankan khidmat untuk rakyat. Ayuh rakyat, berikan lah sokongan mu kepada kami. Dan pohonlah kepada Allah, untuk menghadirkan kemenangan untuk Parti yang membawa Islam. Ayuh!!..aiwah ya ma’syaral muslimin wal muslimat. Ihzimhum,ihzimhum ya Allah.

KEDAH..adakah di sini untukku Tarbiyyah?

He he he..semuanya tidaklah dirancang sebenarnya. Dari perak membawa kami ke kedah, negeri dengan gelaran darul aman. Ini semua asalnya idea dari Izny, hasratnya untuk pulang ke rumahnya dan melawat ayah dan ibunya serta sanak saudaranya di kampong, mendapat persetujuan dari semua yang menaiki kereta. Hirzi juga teruja sebenarnya, tapi malang baginya kerana tidak dapat kami untuk melewati rumahnya yang berada jauh di hujung negeri Kedah, Changlun.mungkin bukan rezekinya kali ini.Maafkan kami saudara Hirzi, insyaAllah, lain kali kami singgah,ok. Epul langsung tidak bersetuju awalnya akibat mempunyai perancangan tersendiri, akan tetapi perubahan rancangan akhirnya tetap membawa kami ke utara. Di hatiku kedah bukan lah negeri asing bagiku. Hampir setahun juga aku belajar di kedah. Matrikulasi Kedah membawa aku ke bumi UKM. Pioneer di kolej matrikulasi memjadikan kami begitu rindu dengan mu duhai kedah. Aku rasa hamper bertahun-tahun aku tidak menjejak kaki ku disini. Jikalau dahulu, masih terbayang-bayang aku setiap kali cuti matrikulasi dan bermulanya semester baru, aku akan menaiki bas dari Kelantan ke kedah. Kami pastinya akan tiba di sini tepatnya pada pukul 4 pagi. Dari Baling ke sungai petani, terus memasuki alor setar@aloq setaq hinggalah tiba ke Changlun. Sebuah Bandar mati dan kecil lagi di ketika itu. Selepas kehadiran kami, barulah Bandar Changlun seolah-olah berpenghuni dan hidup kembali. Jika terus perjalanan ke atas, ayuh anda akan menjumpai bukit kayu hitam dan akhirnya memasuki perlis.

Singgah di kedah membawa kami ke RFC, Radix Fried Chicken. Terletak di Aloq setaq berhampiran dengan perhentian bas Shahab Perdana. Rinduku mendengar nama ini.Kalau dahulu, Shahab Perdana, Pekan Rabu,Menara Alor Setar atau Masjid Bukhari destinasi biasa bagi kami semasa belajar disini. Kini setelah hampir bertahun tidak ke mari, suasana dan perasaannya seperti berada dalam rancangan “Jejak Kasih” yang suatu ketika dahulu popular ditayangkan dikaca televisyen, oleh Siaran Tiga. Nikmat di Kedah terus menghampiri kami, di RFC kami dibelanja oleh Kakak-Kakak kami (p/s: sedih.. sebab tidak sempat bersua muka), mereka singgah sekejap di RFC dan menghulurkan wang untuk kami berempat menikmati RFC. Sambil memohon maaf kerana tidak dapat menemani kami, kerana sedang dalam keuzuran. Oleh itu, apa lagi peluang, menjamu ayam RFC tidak dilepaskan. Pesanan di “order” di kaunter, oleh kerana terlalu ramai yang datang kami sebahagian terpaksa meng”order” dan sebahagian mengambil tempat di meja bagi tidak ditempati orang lain. Wajah pelayan berimej muslimat dan muslimin berlegar-legar. Ada yang mengambil pesanan dan ada yang membantu mereka yang memohon pertolongan. Adapun bagiku, kadang-kadang terpaku juga melihat wajah-wajah muslimat RFC bekerja ( he he he..pandangan pertama sahaja). RFC kami tinggalkan dengan beberapa tangkapan gambar, di dalam RFC dan juga Di luar RFC. Semuanya untuk kenangan.

Kami bergerak ke rumah Izny, berdekatan alor janggus (he.,he, janggus ke jongos, bak kata orang gigi jongos), dekat juga dengan Gunung keriang. Jom kita berpantun sikit…”Rumah izny, kami tiba”. “Ayah dan ibu Izny, masih lagi berjaga”. “Apalah lagi, menanti ketibaan kami jua”. Maka, bermasuk-masukkan ke dalam rumah izny. “Air kopi radix menyambut kami”. “Letih tubuh badan terasa kehilangan”. “Sedih dan gembira melihat adik izny”. “ Bermesra-mesraan dengan kedua-ibu bapanya’. Akhirnya pakcik dan makcik menjemput kami ke bilik tamu, kamar tersedia sudah. Hanya menunggu melabuhkan badan. Untuk tenaga hari esoknya.

Kalau dahulu Kedah Bandar, Kedah kini adalah bandaraya. Kalau dahulu Kedah di bawah Parti Pusat, Kedah kini kelolaan pimpinan pembangkang. Dan kalau dahulu Kedah Menteri Besarnya sekular kini Kedah Menteri Besarnya adalah seorang ustaz, Ustaz Azizan. Tak kenal maka tak cinta, siapakah beliau? Ntahlah..aku sendiri kurang mengenalinya sebelum ini. Tapi itulah hakikatnya. Kerendahan hati seorang pimpinan parti islam ini. Ceritanya begini, di saat transformasi politik tanah air menjatuhkan 4 buah negeri, iaitu Kedah, Perak, Selangor dan Penang. Ustaz Azizan direstui Sultan untuk menjawat jawatan Menteri Besar. Walaupun demikian, kisah sedemikian berlaku, di mana, terjadi terhadap kawanku sendiri. Beliau sempat bertemu sosok hebat ini, tenang bersama isterinya di pejabat Agung. Berkopiah putih, manakala isterinya sudah pastilah bertudung labuh dan menutup aurat. Duduk beliau tenang menanti, di suatu sudut di pintu pejabat Agung, agaknya mahu keluar barangkali. Lantas adalah petugas yang perasan akan kehadiranya dan terus membuka pintu untuknya. Seolah seperti kenal raut wajah itu, namun tidak dapat diteka siapakah ia? Wajah tua ini hanya bersenyum dan mengucapkan terima kasih. Lantas keluar daripada pejabat Agung. Dan turun naik tangannya melambai teksi untuk berhenti. Sehinggalah datang dan membawanya pergi. Kawan petugas tadi yang membuka pintu untuk orang tua tadi, mengomel seakan mengenali lelaki tadi tapi entah siapa. Begitu juga kawan ku. Sehinggalah ke suatu saat barulah mereka menyedari yang berada di hadapan mereka tadi adalah Seorang Menteri Besar, Menteri Besar Kedah Darul Aman. Aduhai, berbahagialah kamu wahai rakyat kedah. Kamu juga punyai Menteri Besar sehebat kami, rakyat Kelantan. Tenang, tawadduk, rendah hati dan dirinya apatah lagi zuhud. Sehingga kini aku percayai apa yang kawan aku lihat.Dan Kedah turut berperang. Ayuh petugas-petugas Hizbullah gerakkan langkah mu ke sini juga. Bantulah parti Allah, bersamalah dalam perjuanganNya.Takbir..Takbir..Takbir. Walillah hil Hamd.

PENANG seiringnya Perjuangan dan Tarbiyyah.

Sedang aku tidur di seat belakang, agenda hirzi, epul dan izny membawa kami ke Pulau Mutiara. Sedar ku di Penang hanya ketika berada di jambatan gah Pulau Pinang. Panjang, lurus dan teguh. Penang? Penang negeri kami, penang milik pakatan. Ntahlah statusnya sebenarnya, tapi ia bersama pakatan. Maka bersama kami. Walaupun begitu, jelas benar Georgetown majoritinya adalah kaum cina. Dan melayunya banyak di Butterworth. Pengalaman di Penang diisi dengan meronda-ronda Penang. Entahlah nama tempatnya, aku pun kurang pandai mengingatnya. He he he. Lim Guan Eng? Pandangan ku terhadapnya, entahlah di harapkan beliau dapat terus menegakkan keadilan dan juga menjadikan pemerintahan UMAR ABDUL AZIZ sebagai idola pemerintahannya. InsyaAllah. Moga Penang akan terus kekal dan kita dapat melihatnya.
~TammaT~

p/s: iklan terkini…nantikan kehadiran sebuah lagi novel karyaan Jebat Ibnu Ubaidillah Ibnu Yaakub. Yang bertajuk..”Impian 30”.Nantikan kemunculannya.

Inisiasi dari sebuah novel bertajuk “Hatiku Ini Milikmu”, terhasillah “Impian 30”, mengisarkan tentang sebuah kisah suka duka seorang pemuda berislah peribadi islamik dan juga kisah cinta dan pengorbanan, kasih dan sayang, kenalan insan pemuda yang bernama uwaisy almujahid. Hasil nukilan jebat ibnu ubaidillah ibnu yaakub.