Saturday, April 25, 2009

Masanya Memilih Jalan Bermadu (10)

Bicara Roh-Adaptasi Idea Seorang Teman


Semenjak dua menjak awal-awal subuh, jasadku mudah terjaga dari tidur. Aku yang sepanjang malam berehat menunggu jasadku berasa sedikit lega. Sungguh? menunggu adalah sesuatu yang meletihkan. Jasadku mengintai jam dihandsetnya. Nada dering dendangan Ustaz Akil Hayy sudah kerap kali didengari.”Umat Islam harus cemerlang, hari ini lebih baik dari semalam…hingga akhir”. Kadang-kadang jenuh dan lenguh mendengar. Baru pukul 5.30 pagi. Jasadku tidur semula.

Aku berasa sedih. Bukankah 5.30 pagi itu sudah hampir dengan waktu subuh? Sekurang-kurangnya bangunlah wahai jasad, dirikan solat dua rakaat. Selama hidup ini, jarang sekali aku diberi makanan yang berkhasiat. Hanya jasad sahaja menikmati makanan-makanan yang pelbagai. Aku semakin resah. Azan subuh sudah lama berkumandang. Jasadku seperti tidak mendengarnya. Wahai jasad, bangunlah. Jangan kita terlepas waktu subuh. Aku meronta-ronta seakan mahu jasadku bergegas bangun.

Alhamdulillah. Lewat subuh. Akhirnya jasadku bangun juga. Setiap kali waktu subuh, jasadku sentiasa membuatkan aku cemas dan risau. Cemas terlepas waktu subuh. Apatah lagi risau hendak mendapatkan solat subuh berjemaah..kini agak kian susah. Hari ini jasadku masih sama, solat berjemaah terlepas lagi. Aku sedikit lega kerana jasadku tidak terlepas solat Subuh. Aku masih mengharapkan jasadku bangun lebih awal untuk solat subuh berjemaah dengan sebagaimana jasad-jasad yang lain yang hadirnya akan hidayah.

Pagi semakin bersinar. Matahari semakin tinggi. Begitulah aku, disaat aku turut mengharapkan dan menunggu sarapan pagiku sebagaimana jasadku yang sedang menikmati sarapan pagi yang enak. Amboi sedihnya, setiap pagi aku dilayan sebegini rupa. Aku seperti ditindas, sedangkan si jasad dijaga dengan baik. Sekali lagi aku berduka. Berduka kerana jarang sekali sarapan pagi untukku disediakan. Sekali sekala sahaja jasadku membaca al-quran. Jarang-jarang sekali jasadku menunaikan solat sunat dhuha. Sedangkan itulah makanan aku dipagi hari, namun yang pasti jarang-jarang sekali aku mendapatnya.


sarapan untuk ku

Matahari sudah beransur terbit, Jasadku bersiap-siap untuk ke tempat kerjanya, menimba ilmu dunia mencari timbunan kekayaan. Huh hu, bersungguh-sungguh benar jasadku mengejar masa, bimbang kalau-kalau terlambat masuk tempat kerja. Sedangkan? Aku dibiarkan bodoh sendirian. Jarang sekali aku dibawa menimba ilmu-ilmu fardhu 'ain. Butakah jasadku? Pekak jasadku? Ia seperti tidak menyedari bahawa aku dan dia adalah satu, tercantum diberi nama manusia. Jasadku tidak menyedari yang aku sering menderita, resah, cedera dan sebagainya dengan setiap perbuatannya.Hari ini aku dilukai lagi. Dilukai? Sebagaimana biasa, oleh jasadku.Ia yang bertanggungjawab menyeksa dan menyakitkan aku. Sedang jasadku tidak menjaga penglihatannya. Tidak menundukkan pandangannya. Setiap kali itulah dosa yang diperolehnya. Ia tak ubah adalah seperti pisau tajam yang melukai aku. Aku bagai didera oleh jasadku sendiri. Jasadku!! tidakkah engkau mendengar rintihanku? Tidakkah engkau mempunyai belas-kasihan kepadaku?Lihat pula kini, jasadku bergelak ketawa dengan rakan-rakannya. Aku juga dapat melihat roh-roh dalam jasad-jasad lain di sekelilingku, juga kelihatan bersedih, menderita, tidak sihat, sepertiku jua. Sedangkan sang jasad-jasad mereka masih boleh bergelak ketawa. Apakah nasib semua Roh , melihat jasad-jasadnya tidak langsung peduli kepada rohnya. Apalah malang nasib kami semua.



Aku sedar, tugas aku dan jasadku yang diberi nama manusia, dihantar ke dunia ini mempunyai matlamat iaitu mengabdikan diri kepada ALLAH, menjadi khalifah ALLAH di muka bumi. Apakah jasadku lupa dek kerana kini tidak pernah diperingat oleh sesiapa? Ingatlah..Aku pernah berkata di depan ALLAH, yang aku sanggup untuk memikul amanah menjadi khalifah di muka bumi. Aku sanggup. Kita sanggup wahai jasad. Tetapi apakah yang telah berlaku jasadku? Adakah kau lupa jika kita gagal menunaikan amanah ini, azab neraka pasti akan membakar kita?Apa guna kau sihatkan tubuh badanmu, sedangkan aku kau biarkan kurus tidak bermaya? Wahai jasaku! bukalah matamu. Bukalah telingamu. Bukalah pintu hatimu. Aku sedang berbicara denganmu!Kata-kata aku bagaikan angin berlalu.

Jasadku tidak mendengar apa-apa. Dia masih leka dengan rakan-rakannya. Apabila masuk waktu zohor, jasadku menuju ke surau masjid. Alhamdulillah. Aku akan mendapat sedikit kekuatan dan kelegaan. Aku mendapat sedikit penyembuhan. Terasa begitu nyaman dan selesa ketika jasadku mula berwudhuk. Luka-luka kecilku sembuh perlahan-lahan. YA!!..benarlah wudhuk itu dikatakan menggugurkan dosa-dosa kecil. Suasana bertambah nyaman apabila jasadku bersama-sama ahli jemaah yang lain menunaikan solat fardhu zohor.Indah aku terasa bagaikan sudah berada dikayangan.Aku mendapat sedikit kekuatan. Walaupun solat jasadku tidak begitu khusyuk, aku rasa ada sedikit kelegaan. Tetapi aku tidak terus rasa selesa. Aku tidak tahu apa yang jasadku akan lakukan lagi. Setiap hari aturannya lebih kurang sama. Aku dicederakan dengan banyaknya, kemudian sekali sekala aku dirawat dan diberi makan. Selepas itu aku dianiaya semula. Aduhai jasadku... bagaimana jika engkau sendiri diperlaku begini?.

Lepas solat Asar, jasadku keluar untuk bersama-sama rakan-rakannya berjogging di tasik. AH!!...jasadku! kau lebih pentingkan kesihatan dirimu daripada kesihatan aku. Padahal setelah engkau mati nanti, tinggallah aku yang akan mewakili engkau untuk berdepan dengan ALLAH. Sedangkan engkau akan hancur dimamah tanah. Bagaimana aku mahu bertemu ALLAH dalam keadaan aku yang kurus kering, mengalami luka-luka akibat perbuatanmu, menghidapi pelbagai penyakit yang engkau bawa?Dalam keadaan sedih begitu, aku terpandang ada lagi roh-roh yang lebih menderita. Pemandangan ditasik dipenuhi jasad-jasad yang mendera rohnya. Jasad mereka tidak menutup aurat. Jasad mereka berdua-duaan lelaki dan perempuan. Betapa besarnya luka mereka, berdarah. tetapi jasad-jasad mereka tetap ceria, bergurau senda dan bergelak ketawa. Alpa. Waktu maghrib sudah masuk. Syukurlah jasadku masih ingat untuk menunaikan solat maghrib berjemaah. Namun aku simpati dengan beberapa roh yang aku nampak merayu-rayu kepada jasad masing-masing yang tidak mendengarnya. Aku tidak dapat berbuat apa-apa. Jasadku tidak menegur dan menasihati jasad-jasad mereka. Wahai jasadku, bukankah tugas kita itu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran? Kenapa kau tidak menjalankan tugas kita? Tahukah kau, kita akan disiksa dengan sebab kemalasan engkau?Lepas solat maghrib berjemaah, aku rasa senang hati sedikit apabila jasadku menunggu untuk mendengar kuliyah maghrib tidak siaran berita di peti televisyen. Aku rasa luka-luka aku dirawat lagi. Aku rasa selesa sedikit. Malah aku dapat makanan yang agak banyak ketika itu. Malangnya, jasad aku tertidur di akhir-akhir kuliyah. Malangnya makanan aku disekat sebelum habis aku makan. Oh jasadku...beginikah cara engkau melayan aku.

Selepas solat Isyak, aku menunggu apa bentuk amalan jasadku selepas ini. Aku lihat roh-roh yang ada dalam jasad ahli-ahli jemaah solat isyak tadi sedikit lega, sama sepertiku. Alangkah baiknya jika roh-roh yang banyak di tasik tadi dapat merasai sedikit kelegaan seperti kami di sini. Apakan daya... jasad mereka lebih kejam daripada jasad-jasad kami.Jasadku melepak dalam bilik sambil melayari internet, dan bermain game sudahlah tentu. Aku rasa seperti diberi minum air yang payau. Sukar untuk ditelan, tetapi aku dipaksa. Jasadku senang gembira melakukan aktiviti yang sia-sia. Harapan aku kembali lega apabila jasadku mula mengantuk. Aku dapat berehat lagi daripada penderaan oleh jasadku sendiri tatkala dia tidur.

Aduhai jasad, aku dapat melihat jasadmu yang nyenyak tidur dibuai mimpi. Sedangkan aku, masih berbicara seorang diri. “Alangkah baiknya jika jasadku mendengar rintihanku!” “Alangkah baiknya jika jasadku mendengar tangisanku!” merintih dan merayu aku kepada jasadku.Astagfirullah. Ampuni Jebat Ya Allah.