Sunday, April 19, 2009

Masanya memilih Jalan Bermadu (9)

Aku..?? Sebuah Analogi Pohon Hijau


Sudah berminggu-minggu rasanya, pohon cili hijau di halaman rumahku melayu. Entah kekurangan air, baja ataupun cahaya. Aku sukar menyangkanya. Setelah hampir setengah tahun, aku menanamnya. Ketika daunnya subur dan tumbuh dengan baiknya. Namun ia masih belum berbuah. Usahanya, tanahnya aku gembur, bajanya tidak lupa aku tabur. Bahkan bukannya tanah biasa tetapi yang bernutrisi tinggi, segar dari pusat penternakan kambing. Aku gigih membajainya setiap minggu hingga ke minggu, bekalan dari ibunda tercinta. Tapi masih tetap sama, pohon hijau tidak juga berbuah. Kini? Adakah masanya telah tiba…daunnya kian kecut dan mengecut. Satu persatu mula tunduk menghala ke bumi, Cuma yang masih baik, belum ada daunnya yang gugur ke tanah. Entah sampai bila batangnya bertahan untuk tegak dan membesar. Siraman air telah berhenti, pencahayaan pun kian sukar didapati. Pohon hijau aku menunggu hari, untuk tersembam ke muka bumi.





aku si cili hijau, pedas tapi sedap



Sesekali tatkala senja aku merenung nasib pohon hijauku, jauh fikiran ku melayang. Kerana mengambarkan analogi diri seumpama anak benih si pohon hijau itu. Teringat suatu ketika dahulu, di rumah, di sekolah, di UKMKL aku hidup dilaman yang subur. Disini aku dibenih, aku disemai dan dibajai ilmu yang menggunung. Baik ilmu duniawi mahupun ukhrawi. Aku tersiram airnya kasih sayang para sahabat dan naqib-naqibahku, tidak pernah kurang dan tidak berlebihan. Pancaran cahaya jemaah yang menerangiku, memantulkan aku seorang insan yang bersih dan lagi suci. Namun kini, tanah subur yang ku diami, semakin lama semakin jauh aku tinggalkan. Menandakan diriku, anak benih yang sudah matang, sudah berupaya untuk bertapak sendiri. Malangnya ibarat benih baru yang dicampakkan, aku tak berupaya untuk menjadi pohon yang kukuh seperti yang penyemai-penyemai ku harapkan. Tanah yang ku diami kini, bukanlah tanah gersang, ataupun tanah yang sentiasa dibajai (tanah berih), ia hanyalah sebuah tanah yang sedang-sedang saja, antara subur dan tak subur . Zaman dulu sudah pergi. Aku kini bersendiri, memaksa akar-akarku mencari pancaran iman, dan siraman takwa di setiap genap pelusuk ruang yang ada. Ada yang berada jauh, ada yang berada dekat. Semuanya atas kehendak, bukan lagi disuap.
pulau di kepulauan pantai

Jadi, apakah permasalahannya, wahai si anak benih? Timbul sebuah tanda tanya. Bukannya air tidak kau perolehi. Bukannya pancaran cahaya jemaah tidak kau fotosintesiskan? Apakah permasalahanmu apakah permasalahanmu , wahai si anak benih? Ya benar, air, cahaya dan tanah semuanya aku ada, Alhamdulillah, aku bersyukur aku berjaya juga menjadi si anak pokok. Cuma aku sedari, aku rindukan siraman air yang dahulu, gemburan tanah yang subur dan pancaran cahaya yang benar-benar mengambil berat tentangku. Airku kini bercampur baur kelodak lalai dan mendakan dosa. Tanahku ku tempati berisi bom jangka yang menunggu masa. Pancaran cahaya yang ku perolehi malap dan semakin malap. Aku terkesima. Salah siapakah ini? Mengapa tidak aku mampu untuk tumbuh subur sebagaimana aku disemai dahulu. Aku bukannya benih yang biasa, aku disemai dan dibajai dengan terbaik oleh suasana dan penyemai yang terbaik. Aku disemai untuk menjadi pulau andai aku tercampak di lautan yang luas. Boleh memberikan manfaat dan maslahat kepada yang memerlukan. Tapi hasilnya kini, aku gagal. Aku gagal menjadi sebuah pulau yang baik.

Chaiss, bangsat kau duhai anasir-anasir serangga jahat yang merosakkan aku. Yang meracuni aku dengan noda dan dosa keparat. Yang melalaikan aku dengan serangan-serangan lalai dan leka. Yang menipu aku dengan harta dan kekayaan. Mereka kini sedang membunuh aku, merosakkan aku semahunya. Ya Allah selamatkanlah aku, kau hantarkanlah pendamping yang solehah untuk aku. Ibarat semburan racun serangga “Ridsect” membunuh dan menghapuskan segala kejahatan yang ditinggalkan terhadapku. Ya Allah, kau bekalkanlah penyokong solehah untuk aku. Ibarat sebatang kayu yang dipacak di dalam pasu ku, untuk menunjukku dan membetulku. Ya Allah, kau bekalkanlah penyubur yang solehah untuk aku. Ibarat bijian baja yang ditaburkan memberikan tenaga dan keriangan. Semoga anak benih ini menjadi anak pohon cili yang selamat sehingga akhirnya menjadi suatu pulau yang bermanfaat. Dikelilingiku anak buah-buahan bersama pendamping yang setia, penyokong yang memahami dan penyubur yang menggembirakan. InsyaAllah bi’iznillah.