Saturday, May 9, 2009

Masanya Memilih Jalan Bermadu (13)

Sotong Pulut, Jeruk Manis..Satay Panggang, Chicken Chop
Assalamualaikum,
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Alhamdulillah, sudah seminggu aku menyepi dari dunia penulisan, akhirnya dapat juga ku mencoretkan sedikit coretan yang mungkin dapat dikongsikan bersama-sama. Hu huhu, mungkin ramai yang menantikan untuk si Jebat menulis lebih-lebih lagi selepas daripada akad akhi Khairudin dan zaujahnya Aida, namun kadang-kadang idea dan idea aku tidak-tidak juga menjelma, sehinggalah ke hari ini. Dan kini, Laptop putih kesayanganku buka, isteri kedua ku selepas perginya kekasih pertamaku, yang hilang entah ke mana. Namun, mungkin pemergiannya suatu suratan atau kebetulan, takdir Allah mengurniakan yang lebih baik buatku. Aku bersyukur dengannya. HP Pavillion Dv6000 Special Edition sudah terpasang. Password nya ku taip. Sudah tentu suatu nama yang bermakna ku abadikan sebagai kata kekunciku.Ahaks.

Sudah hampir semingguku di perantauan kampung, sekembalinya ku ke kampung, tidak pernah lekang dari pelbagai perkara yang hendak ku lakukan, personal atau tak personal semuanya siap tersusun dalam jadualku. Seakan banyak benda yang ingin ku selesaikan. Biarpun ku rasa kali ini adalah cuti yang terpanjang ku mohon selama ku bertugas di HUKM, namun masih terasa singkat juga rasanya. Tidak ku nafikan saat dikampung halaman adalah yang terindah untuk dikenangkan. Kenangan manis yang bermain di ingatan seumpama pulut sotong yang dimasak enak sungguh segar dalam ingatan, saat masam dan manis bergaul rasa kedua-duanya seumpama jeruk salak manis dan putiknya mangga.Walaupun demikian, semestinya kenangan manislah yang lebih utama buatku di kelantan ini, sinonim dengan penduduknya yang terkenal dengan kemanisan, begitulah budi dan bahasa kami. Cukup manis seperti hasilnya kordial air laici dan epal, Oh..cukup memikat. Budi pekerti yang indah dan kerupawanan yang jelitawan pasti mengiurkan hati ayahanda dan ibunda sang dara untuk menjadi pilihan menantu kesayangan. Mmm, begitulah rempah ratus kenangan tatkala kembali ke kelantan seakan masak dalam sedapnya hidangan chicken chop dan satay panggang pasti ku semat di ingatan.

Coretan ini khas buat pasangan uda dan dara, untukmu kdin dan aida. Aduhai !! Sebagaimana si uda memerlukan dara, begitulah pasangan ini yang juga saling memerlukan, sebagaimana keduanya memerlukan kehadiran sang udara. Alhamdulillah, majlis akad sudah pun berakhir sudah. Keduanya ditaklif akan suami dan isteri. Telah terpatri hidup janji dan semati. Moga berkekalan iman di hati. Menjadi tanda ukuran kasih nan suci. Sahabatku.. dengarlah walaupun ini bukan nasihatku. Harap dikau jadikan sebagai pedoman. Jika yang disuruh pilih, ukurannya adalah harta, maka harta itu mudah dikira. Jika yang disuruh pilih, hitungannya adalah rupa, maka rupa tidak luput dinilai mata. Andai yang disuruh pilih, ketentuannya adalah keturunan, maka keturunan itu sudah jelas di ketentuan. Akhirnya yang disuruh pilih itu, adalah pada yang beragama. Sedangkan agama itu sulit sekali mahu diukur. “Sesuatu yang tidak boleh diukur, sulit sekali untuk mengurusnya”. Justeru bagaimanakah yang dikatakan seseorang itu beragama? Adakah pada pakaiannya, solatnya, ilmunya, bakatnya, usrahnya, atau apa? Amat payah, pilihan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu ialah pada sesuatu yang amat abstrak. Namun akhirnya dalam sulit itu, segala puji bagi Allah kerana melorongkan ramai anak muda hari ini agar memilih yang sulit itu. Hatta yang tidak pernah kisah dengan tuntutan-tuntutan agama pun, masih mahu satu-satunya hari permulaan perkahwinan mereka, disimpan aurat agar berkat. Mahu pernikahan itu sandarannya adalah agama. Dan Alhamdulillah anda sahabat ku kdin dan aida, kamu adalah salah seorang dari mereka.

Ia hanya permulaan

Dan ingatlah kdin dan aida, sahabat muslimin dan muslimat. Permulaan anda anda adalah permulaan yang baik, rumahtangga yang dibina di atas dasar agama. Namun ia bukanlah suatu jaminan untuk kekal dalam bahagia rumah tangga, jaminan kepada ketenangan dan kebahagiaan. Ia hanya suatu permulaan. Setelah memilih wanita yang beragama, atau lelaki yang beragama juga, apakah bermakna rumahtangga kita sudah beroleh plan ‘takaful’ perlindungan dari musibah, pergaduhan dan penceraian? Tidak perlu diselak lembaran nas, kerana jawapannya ada pada rumahtangga kita dan rakan di sekeliling kita. Sesungguhnya permulaan yang baik, hanyalah suatu permulaan yang baik. Ia tidak mampu mengawal agar seluruh perjalanan rumahtangga itu kekal baik, melainkan usaha menjaga, memantau, dan membangunkan rumahtangga yang baik, kekal berterusan. Inilah yang sering gagal diberikan perhatian.

“Saya telah menghadiahkan anak-anak saya sebaik-baik hadiah buat mereka, iaitu dengan saya mengahwini seorang perempuan sebaik ‘dia’…Seorang pemuda bermadah pujangga. Tapi ingatlah , “baik” semasa berkahwin, bukanlah jaminan untuk terus baik di sepanjang perkahwinan.

Kelebihan sebuah permulaan

Bukanlah daku ingin mengatakan andai pilihan perkahwinan atas dasar agama pun boleh menyebabkan keretakan rumahtangga dan penceraian, oleh itu kenapa perlu dan faedah memilih dan berkahwin atas nilai agama. Tidak..tidak, bukan itu yang ingin ku katakan. Jangan salah anggap nasihatku ini, ibarat kata Abu Saif, “persoalan ini perlu lah dijawab dengan baik, jika tidak dijawab dengan baik, akan hilang kesediaan orang untuk bersusah payah memilih pasangan hidup atas faktor agama”. Sebenarnya sebuah rumahtangga yang bermula dengan baik, tetap ada kelebihannya. Tatkala segala badai dan pancaroba melanda, andai rumahtangga yang dahulunya dibina atas semangat dakwah, kini tersasar akibat kecuaian dan tekanan persekitaran dan masa, rumah tangga ini mudah mencari jalan pulang. Setelah mereka pernah sama-sama bahagia di awal jalan yang bersih dan indah dalam kehidupan beragama, pasti sejauh mana sekali pun rumahtangga itu tersasar, ia tetap jelas mencari JALAN PULANG. Malah, ia menjadi sinar harapan. Bahawa suami dan isteri pernah soleh dan pernah solehah. Potensi itu ada, rujukannya masih segar di minda dan jiwa. Mudah-mudahan luput keraguan dari suami terhadap isteri, dari isteri terhadap suami… bahawa kedua-duanya berpotensi untuk KEMBALI. Pulang ke asal yang baik itu.

Permulaan yang baik itulah juga rujukan Syariatullah dan Sunnatullah. Sebagaimana rumahtangga di hari-hari pertama terhias dengan segala nikmat solat berjemaah bersama, mengaji al-Quran bersama, makan bersama dan pergi ke majlis ilmu bersama, kembalikanlah rumahtangga yang goyah itu kepada apa yang kita sendiri pernah rasai. Begitu juga kerana nilai kasih sayang, seorang suami dan seorang isteri bisa membuka auratnya untuk ditatap pasangan yang baru dihalalkan, hidupkanlah kembali nilai kasih sayang yang sama untuk masing-masing membuka kelemahan dan keaiban diri, mengiktiraf kekurangan di depan pasangan yang sudah lama dinikahi… Demi sebuah keredhaan Allah.Terimalah rumahtangga sebagai sebuah medan perjuangan. Penyertaan kita ke dalamnya dengan segala kelengkapan, bukanlah jaminan kepada kemenangan. Kita tidak tahu apakah bentuk musuh yang bakal menyerang, tidak pasti bagaimanakah peritnya pertempuran yang bakal melanda. Namun sekurang-kurangnya dengan persediaan yang baik di sebuah permulaan, doa kita kepada-Nya tidak palsu kerana ia dilafaz selepas USAHA. Sesungguhnya permulaan yang baik, bukanlah suatu jaminan. Ia hanya sebuah permulaan…